Friday, October 22, 2010

Serap GSTT ke Jawatan Tetap

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.

"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad.

"Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap.

"Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap.

"Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

Guru Cemerlang Kongsi Kepakaran

SEREMBAN - Pendidikan alaf 21 memerlukan guru berkualiti yang kreatif dan inovatif dalam menyempurnakan tugas serta tanggungjawabnya. Bukan pedagogi yang sama dan statik. Guru bersyarah murid mendengar.
Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah perlu bersifat dua hala, menarik dan seronok supaya ia memberi impak positif yang berkekalan.

Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (NS), Kalsom Khalid menyarankan kepada para pendidik supaya tidak terlalu rutin dan fokus kepada domain kognitif sahaja iaitu memberi fakta dan pengetahuan sebanyak mungkin semasa di dalam kelas.

Menurut beliau, guru sepatutnya turut menekankan domain yang lain - efektif dan psikomotor - dalam P&P supaya modal insan yang dihasilkan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Friday, October 15, 2010

SeKAdAr ReNuNgAN BeRSaMa

Mengatasi Masalah Kuat Marah Pada Anak

Buat renungan kita bersama.. para ibu bapa sekalian..

Kepada ibu bapa yang ringan tangan dan mulut….renung-renungkanlah. Anak kita adalah cermin diri kita…….. 

Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-7 tahun (preschool memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak. Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.